SAYA meminta adik saya Rusli yang sedang memandu supaya memperlahankan kereta sebaik terpandang bangunan masjid tua di Nilampuri sedang diperbaiki. Oleh kerana terlalu teruja melihat wajah baru masjid yang dianggap tertua di tanahair itu, saya terus mencadangkan Rusli membelok masuk ke kawasannya untuk melihat dari lebih dekat. Kebetulan pula saya membawa kamera digital saya bersama, terasa mahu merakamkan beberapa keping gambar buat kenang-kenangan.
Masjid tua itu dikenali dengan Masjid Kampung Laut, sempena nama tempat ia mula dibina kira-kira 300 tahun yang lalu.
“Menurut sejarah, masjid ini dibina oleh sekumpulan ulamak yang sering berulang alik dari Champa, Pattani dan kepulawan Jawa” Saya memulakan cerita yang pernah saya baca dalam buku-buku sejarah mengenai negeri Kelantan dan perkembangan syiar Islam beratus tahun lalu. “Kononnya, dalam satu pelayaran, kapal yang mereka naiki telah bocor dan dimasuki air sedikit demi sedikit. Lalu bernazarlah mereka, sekiranya selamat mendarat, nanti, mereka akan dirikan sebuah masjid sebagai tanda bersyukur…”
“Jadi, mereka berjaya mendarat di Kampung laut dan membayar nazar mereka?” Tanya Rusli.
“Yalah gamaknya, sebab tulah terbinanya masjid purba ni kat situ.” Jawab saya.
Kami melangkah menghampiri beberapa orang pekerja binaan yang sedang sibuk memasang genting bumbung yang baru. Kehadiran kami disambut dengan senyuman, tambahan pula saya sudah mula menghalakan lensa kamera kearah persekitaran kawasan seluas kira-kira satu ekar itu. Mungkin mereka menyangka kami adalah sebahagian pelancong yang tidak putus-putus singgah untuk melawat atau melihat dari sendiri keunikan senibina masjid tersebut, disamping mengetahui tentang sejarahnya dengan lebih mendalam.
Mereka menjawab mesra ucapan salam yang saya berikan sebelum bertanya dari mana kami dating. Loghat Kelantan yang digunakan oleh salah seorang dari mereka membuat saya mengagak bahawa mereka mungkin berasal daripada selatan Thai, atau setidak-tidaknya tinggal di sempadan. Mereka memang tersohor sebagai tukang rumah yang bagus dan tinggi kemahirannya.
“Orang sini jugak, saja singgah nak tengok orang buat kerja.” Jawab saya. “Berapa lama dah buat kerja baik pulih ni?” Giliran saya pula bertanya.
“Dah banyak minggu dah, dalam minggu ni nak kena siap juga” Celah seorang lelaki yang berada di atas bumbung. Dari apa yang saya perhatikan, mereka adalah pekerja-pekerja syarikat kontraktor yang dilantik oleh pihak kerajaan negeri dalam usaha mengindah dan mengekalkan bahan bersejarah itu. Saya juga dapat mengagak bahawa kerja-kerja baik pulih perlu disiapkan segera untuk orang ramai kembali menggunakan masjid tua itu . Terutama untuk bersembahyang Hari Raya nanti.
Bangunan yang masih berdiri tegap dan sehingga kini berfungsi sebagai tempat beribadat itu telah dipindahkan ke Nilampuri dari tempat asalnya di Kampung Laut , di Jajahan Tumpat pada tahun 1968 setelah hampir dihanyutkan banjir besar pada tahun 1966. Menurut catatan yang pernah saya baca, kedudukannya yang kurang dari 750 meter dari tebing sungai Kelantan itu menyebabkan ia tidak selamat. Selain sering dilanda banjir, ancaman tanah runtuh dan juga hakisan, menyebabkan Persatuan Sejarah Malaysia membuat keputusan untuk merombak satu-persatu komponen bangunan yang tidak menggunakan sebatang paku pun itu dan memasangnya kembali seperti alat permainan Lego atau pun jigsaw puzzle..
“Macam rumah Melayu tradisional jugalah, datuk nenek kita pakai “pasak dan tebuk”, atau kaedah seumpamanya yang seratus-peratus diperbuat daripada kayu Cengal. “ Ujar Rusli memberikan jawapan kepada persoalan bangunan yang tidak menggunakan paku atau skru.”Nampak gayanya, lebih kukuh dan tahan beratus tahun berbanding rumah kayu binaan orang sekarang .” Sambungnya membuat perbandingan.
Saya tidak melepaskan peluang untuk naik dan melihat ruang dalaman. Lantai masjid itu memang di dirikan setinggi kira-kira satu meter dari aras tanah kerana kawasan tempat asalnya sering dilanda banjir..Pelan lantainya berbentuk segi empat sama dan binaan bumbung tiga lapisnya dikatakan menyerupai masjid Demak di pulau Jawa yang dipercayai dibina sekitar 1479.
Selain bumbung, kerja baik pulih yang dilakukan itu melibatkan kerja-kerja menggantikan sisip angin (louvres) yang terletak di antara tiga lapisan bumbung berbentuk piramid kerana ada diantaranya yang telah gugur ke bumi apabila dilanda ribut. Sisip angin tersebut berfungsi membenarkan pengudaraan semulajadi ke bahagian bumbung masjid. Ini akan membebasan udara panas dan sekali gus mendinginkan ruang solat.
“Tengok, sehingga ke bahagian kecil seperti sisip angin ni pun pakai kayu cengal…” Bisik saya pada Rusli sambil menunjukkan sekeping papan yang saya ambil dari longgokan bahan buangan berhampiran . Saya pasti, kepingan kayu yang berusia ratusan tahun itu akan dibuang atau dimusnahkan sebagai sampah. Begitu sentimental pula rasanya.
“Tak boleh nak bayangkan, macam mana orang dulu-dulu buat pembinaan tanpa sebarang jentera moden. Mereka yang rombak , angkut dan pasang kembali pun tidak kurang hebatnya kerana tiang serinya saja sudah macam sebatang pokok kayu balak yang panjang, berat dan keras.” Kata Rusli kagum.
“Ketika keputusan untuk memindahkan bangunan masjid ini dibuat, berpuluh-puluh tukang yang mahir dari seluruh negeri telah dikumpulkan. Setiap batang kayu dan kepingan papan ditanda terlebih dahulu. Namun begitu, khabarnya lama juga baru boleh disiapkan pemasangannya…” Terang saya.
Kami kemudiannya berteduh di sebuah wakaf yang berhampiran. Dari situ, begitu jelas kelihatan bumbung baru yang bewarna jingga berbanding warna gelap dimamah usia dan berlumut sebelum itu.. Menurut salah seorang pekerja, sejak masjid itu berdiri di tapak yang berhampiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di Nilampuri itu, genting Singgora yang diperbuat daripada tanah liat itu belum pernah diganti. Dengan lain-lain perkataan, walaupun genting Singgora yang dikenali sebagai “bata atap” oleh penduduk tempatan itu cuma setebal kira-kira enam sentimeter dan rata permukaannya, namun ia boleh bertahan sehingga hampir 30 tahun.
“Tak pasti pula saya samada, semasa di Kampung Laut dulu, ia sudah pakai “bata” ini untuk bumbung atau tidak.” Jawab pekerja tadi bila Rusli bertanyakan kemungkinan genting Singgora itu seusia dengan kayu-kayu tiang dan papan dinding ‘Janda Berhias” serta ukiran-ukiran pada susur beranda dan cucur atap.
“Sebenarnya, apa yang kita lihat hari ini sudah jauh berbeza daripada beratus tahun lalu, biarpun struktur asalnya masih kekal. Pihak yang menjaga masjid ini dah banyak kali buat peningkatan.. Bayangkanlah ketika mula-mula dibina pada tahun 1730an, pasti mereka sendiri tidak menyangka yang hasil kerja mereka masih boleh dilihat oleh anak cucu cicit mereka pada hari ini, jika kerja-kerja membaki, membaik pulih serta memelihara pusaka peninggalan sejarah ini tidak dilakukan secara berterusan dan dengan kaedah yang betul” Saya menyampaikan apa yang saya tahu melalui pembacaan dan melayar internet.
“Betul tu,” Tambah Rusli, “ Masjid ni begitu penting dijaga kerana ia adalah sebahagian daripada artifek dan bahan bukti mengenai kedatangan dan penyebaran agama Islam serta usaha menjejak laluan mubaligh daripada tanah Jawa ke Pattani di Thailand dan sebaliknya.” Boleh tahan juga pengetahuan sejarahnya.
“Memang ada catatan yang mengatakan pada penghujung abad ke 19, iaitu dari tahun 1859 hingga 1900, masjid ini telah diperbesarkan dari saiz asalnya bagi menampung lebih ramai pengunjung yang datang dari seluruh nusantara ke Kampung Laut untuk mengaji kitab dan lain-lain aktiviti keagamaan . “ Saya memberikan fakta yang baru dibaca dari sebuah bulletin di internet. Rusli memandang saya seolah-olah tidak percaya.
“Betul ke tarikh-tarikh tu?” Tanyanya musykil.
“Kalau tak silap le.” Jawab saya ringkas.
Kami bangun dari tempat duduk di wakaf dan merayau-rayau mencari sudut yang menarik untuk dirakamkan ke kamera. Rusli mengekor dari balakang. Biarpun itu bukanlah kali pertama saya ke situ, namun lawatan kali ini baru membuka mata saya untuk mengkagumi hasil kerja orang dulu-dulu dan keindahan senibina sendiri, biarpun masih banyak pengaruh dari negara-negara jiran dalam cirri-ciri rekabentuknya, ia tetap mengkagumkan.
Usaha pemuliharan (pulih dan pelihara) oleh badan-badan dan individu adalah satu langkah yang murni dan patut menjadi amalan. Namun begitu, keaslian rupabentuknya harus dikekalkan sebaik mungkin.
“Banyak peninggalan sejarah seperti senibina masjid ini yang boleh dijadikan bahan kajian ilmiah untuk para pelajar dan juga professional. “ kata saya.
“Apa tidaknya. Tukang-tukang mahir tempatan sudah ramai yang tiada atau tidak sempat meninggalkan ilmu dan kepandaiannya kepada keturunan mereka.” Tambah Rusli. “Itulah yang ruginya…”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment