Wednesday, July 4, 2007

Thursday, April 26, 2007

gambar lama


gambar dengan Wan Azman Head boy dan Farid yang terjumpa dalam album lama. Di mana Farid sekarang?



Kadang tu, nengok gambar lama ni syok juga. Berbagai nostalgia timbul: ceria, sedih dan memacam berbaur....




Wednesday, March 28, 2007

Masjid Purba di Nilampuri

SAYA meminta adik saya Rusli yang sedang memandu supaya memperlahankan kereta sebaik terpandang bangunan masjid tua di Nilampuri sedang diperbaiki. Oleh kerana terlalu teruja melihat wajah baru masjid yang dianggap tertua di tanahair itu, saya terus mencadangkan Rusli membelok masuk ke kawasannya untuk melihat dari lebih dekat. Kebetulan pula saya membawa kamera digital saya bersama, terasa mahu merakamkan beberapa keping gambar buat kenang-kenangan.


Masjid tua itu dikenali dengan Masjid Kampung Laut, sempena nama tempat ia mula dibina kira-kira 300 tahun yang lalu.

“Menurut sejarah, masjid ini dibina oleh sekumpulan ulamak yang sering berulang alik dari Champa, Pattani dan kepulawan Jawa” Saya memulakan cerita yang pernah saya baca dalam buku-buku sejarah mengenai negeri Kelantan dan perkembangan syiar Islam beratus tahun lalu. “Kononnya, dalam satu pelayaran, kapal yang mereka naiki telah bocor dan dimasuki air sedikit demi sedikit. Lalu bernazarlah mereka, sekiranya selamat mendarat, nanti, mereka akan dirikan sebuah masjid sebagai tanda bersyukur…”

“Jadi, mereka berjaya mendarat di Kampung laut dan membayar nazar mereka?” Tanya Rusli.

“Yalah gamaknya, sebab tulah terbinanya masjid purba ni kat situ.” Jawab saya.





Kami melangkah menghampiri beberapa orang pekerja binaan yang sedang sibuk memasang genting bumbung yang baru. Kehadiran kami disambut dengan senyuman, tambahan pula saya sudah mula menghalakan lensa kamera kearah persekitaran kawasan seluas kira-kira satu ekar itu. Mungkin mereka menyangka kami adalah sebahagian pelancong yang tidak putus-putus singgah untuk melawat atau melihat dari sendiri keunikan senibina masjid tersebut, disamping mengetahui tentang sejarahnya dengan lebih mendalam.

Mereka menjawab mesra ucapan salam yang saya berikan sebelum bertanya dari mana kami dating. Loghat Kelantan yang digunakan oleh salah seorang dari mereka membuat saya mengagak bahawa mereka mungkin berasal daripada selatan Thai, atau setidak-tidaknya tinggal di sempadan. Mereka memang tersohor sebagai tukang rumah yang bagus dan tinggi kemahirannya.

“Orang sini jugak, saja singgah nak tengok orang buat kerja.” Jawab saya. “Berapa lama dah buat kerja baik pulih ni?” Giliran saya pula bertanya.

“Dah banyak minggu dah, dalam minggu ni nak kena siap juga” Celah seorang lelaki yang berada di atas bumbung. Dari apa yang saya perhatikan, mereka adalah pekerja-pekerja syarikat kontraktor yang dilantik oleh pihak kerajaan negeri dalam usaha mengindah dan mengekalkan bahan bersejarah itu. Saya juga dapat mengagak bahawa kerja-kerja baik pulih perlu disiapkan segera untuk orang ramai kembali menggunakan masjid tua itu . Terutama untuk bersembahyang Hari Raya nanti.

Bangunan yang masih berdiri tegap dan sehingga kini berfungsi sebagai tempat beribadat itu telah dipindahkan ke Nilampuri dari tempat asalnya di Kampung Laut , di Jajahan Tumpat pada tahun 1968 setelah hampir dihanyutkan banjir besar pada tahun 1966. Menurut catatan yang pernah saya baca, kedudukannya yang kurang dari 750 meter dari tebing sungai Kelantan itu menyebabkan ia tidak selamat. Selain sering dilanda banjir, ancaman tanah runtuh dan juga hakisan, menyebabkan Persatuan Sejarah Malaysia membuat keputusan untuk merombak satu-persatu komponen bangunan yang tidak menggunakan sebatang paku pun itu dan memasangnya kembali seperti alat permainan Lego atau pun jigsaw puzzle..

“Macam rumah Melayu tradisional jugalah, datuk nenek kita pakai “pasak dan tebuk”, atau kaedah seumpamanya yang seratus-peratus diperbuat daripada kayu Cengal. “ Ujar Rusli memberikan jawapan kepada persoalan bangunan yang tidak menggunakan paku atau skru.”Nampak gayanya, lebih kukuh dan tahan beratus tahun berbanding rumah kayu binaan orang sekarang .” Sambungnya membuat perbandingan.

Saya tidak melepaskan peluang untuk naik dan melihat ruang dalaman. Lantai masjid itu memang di dirikan setinggi kira-kira satu meter dari aras tanah kerana kawasan tempat asalnya sering dilanda banjir..Pelan lantainya berbentuk segi empat sama dan binaan bumbung tiga lapisnya dikatakan menyerupai masjid Demak di pulau Jawa yang dipercayai dibina sekitar 1479.

Selain bumbung, kerja baik pulih yang dilakukan itu melibatkan kerja-kerja menggantikan sisip angin (louvres) yang terletak di antara tiga lapisan bumbung berbentuk piramid kerana ada diantaranya yang telah gugur ke bumi apabila dilanda ribut. Sisip angin tersebut berfungsi membenarkan pengudaraan semulajadi ke bahagian bumbung masjid. Ini akan membebasan udara panas dan sekali gus mendinginkan ruang solat.

“Tengok, sehingga ke bahagian kecil seperti sisip angin ni pun pakai kayu cengal…” Bisik saya pada Rusli sambil menunjukkan sekeping papan yang saya ambil dari longgokan bahan buangan berhampiran . Saya pasti, kepingan kayu yang berusia ratusan tahun itu akan dibuang atau dimusnahkan sebagai sampah. Begitu sentimental pula rasanya.

“Tak boleh nak bayangkan, macam mana orang dulu-dulu buat pembinaan tanpa sebarang jentera moden. Mereka yang rombak , angkut dan pasang kembali pun tidak kurang hebatnya kerana tiang serinya saja sudah macam sebatang pokok kayu balak yang panjang, berat dan keras.” Kata Rusli kagum.

“Ketika keputusan untuk memindahkan bangunan masjid ini dibuat, berpuluh-puluh tukang yang mahir dari seluruh negeri telah dikumpulkan. Setiap batang kayu dan kepingan papan ditanda terlebih dahulu. Namun begitu, khabarnya lama juga baru boleh disiapkan pemasangannya…” Terang saya.

Kami kemudiannya berteduh di sebuah wakaf yang berhampiran. Dari situ, begitu jelas kelihatan bumbung baru yang bewarna jingga berbanding warna gelap dimamah usia dan berlumut sebelum itu.. Menurut salah seorang pekerja, sejak masjid itu berdiri di tapak yang berhampiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di Nilampuri itu, genting Singgora yang diperbuat daripada tanah liat itu belum pernah diganti. Dengan lain-lain perkataan, walaupun genting Singgora yang dikenali sebagai “bata atap” oleh penduduk tempatan itu cuma setebal kira-kira enam sentimeter dan rata permukaannya, namun ia boleh bertahan sehingga hampir 30 tahun.

“Tak pasti pula saya samada, semasa di Kampung Laut dulu, ia sudah pakai “bata” ini untuk bumbung atau tidak.” Jawab pekerja tadi bila Rusli bertanyakan kemungkinan genting Singgora itu seusia dengan kayu-kayu tiang dan papan dinding ‘Janda Berhias” serta ukiran-ukiran pada susur beranda dan cucur atap.

“Sebenarnya, apa yang kita lihat hari ini sudah jauh berbeza daripada beratus tahun lalu, biarpun struktur asalnya masih kekal. Pihak yang menjaga masjid ini dah banyak kali buat peningkatan.. Bayangkanlah ketika mula-mula dibina pada tahun 1730an, pasti mereka sendiri tidak menyangka yang hasil kerja mereka masih boleh dilihat oleh anak cucu cicit mereka pada hari ini, jika kerja-kerja membaki, membaik pulih serta memelihara pusaka peninggalan sejarah ini tidak dilakukan secara berterusan dan dengan kaedah yang betul” Saya menyampaikan apa yang saya tahu melalui pembacaan dan melayar internet.

“Betul tu,” Tambah Rusli, “ Masjid ni begitu penting dijaga kerana ia adalah sebahagian daripada artifek dan bahan bukti mengenai kedatangan dan penyebaran agama Islam serta usaha menjejak laluan mubaligh daripada tanah Jawa ke Pattani di Thailand dan sebaliknya.” Boleh tahan juga pengetahuan sejarahnya.

“Memang ada catatan yang mengatakan pada penghujung abad ke 19, iaitu dari tahun 1859 hingga 1900, masjid ini telah diperbesarkan dari saiz asalnya bagi menampung lebih ramai pengunjung yang datang dari seluruh nusantara ke Kampung Laut untuk mengaji kitab dan lain-lain aktiviti keagamaan . “ Saya memberikan fakta yang baru dibaca dari sebuah bulletin di internet. Rusli memandang saya seolah-olah tidak percaya.

“Betul ke tarikh-tarikh tu?” Tanyanya musykil.

“Kalau tak silap le.” Jawab saya ringkas.

Kami bangun dari tempat duduk di wakaf dan merayau-rayau mencari sudut yang menarik untuk dirakamkan ke kamera. Rusli mengekor dari balakang. Biarpun itu bukanlah kali pertama saya ke situ, namun lawatan kali ini baru membuka mata saya untuk mengkagumi hasil kerja orang dulu-dulu dan keindahan senibina sendiri, biarpun masih banyak pengaruh dari negara-negara jiran dalam cirri-ciri rekabentuknya, ia tetap mengkagumkan.

Usaha pemuliharan (pulih dan pelihara) oleh badan-badan dan individu adalah satu langkah yang murni dan patut menjadi amalan. Namun begitu, keaslian rupabentuknya harus dikekalkan sebaik mungkin.

“Banyak peninggalan sejarah seperti senibina masjid ini yang boleh dijadikan bahan kajian ilmiah untuk para pelajar dan juga professional. “ kata saya.

“Apa tidaknya. Tukang-tukang mahir tempatan sudah ramai yang tiada atau tidak sempat meninggalkan ilmu dan kepandaiannya kepada keturunan mereka.” Tambah Rusli. “Itulah yang ruginya…”

Friday, March 9, 2007

Kellie's Castle revisited



"WAKTU musim cuti sekolah yang lalu, memang ramai yang datang melawat, padang letak kereta ni penuh sesak dengan kenderaan dari seluruh pelusuk negara, termasuk pelancong luar." Ujar En. Tajuddin, pengurus Kellie's Castle yang terletak di Jalan Gopeng ke Batu Gajah di Negeri Perak Darul Ridzuan.

"Kami baru saja mengambil alih tugas mengurus yang diswastakan oleh kerajaan negeri" Beritahu Tajuddin yang lebih mesra dengan panggilan Taj."Jadi, masih banyak kekurangan yang perlu dipertingkatkan" Sambungnya apabila saya bertanyakan mengenai bidang tugasnya dan beberapa orang pekerja yang tersenyum lebar menyambut kedatangan kami.

Pada hari itu, saya dan Matju memang kelihatan seperti pelancong yang menyokong usaha kerajaan memajukan industri pelancongan yang mengisytiharkan tahun ini sebagai Tahun Melawat Malaysia. Apa tidaknya, walaupun sudah lama mengetahui mengenai Kellie’s Castle, baru kali itu tergerak untuk mendekati bahan peninggalan sejarah yang sudah menjadi salah satu tarikan pelancong ke negeri Perak.

Matju, salah seorang kakitangan di firma saya sebenarnya mengikut saya ke Ipoh untuk satu usrusan rasmi. . Kami dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Pada mulanya , kami tidak merancang untuk singgah, apatah lagi meluangkan masa melawat bangunan usang yang masih berdiri tegap di seberang sungai itu. Namun, setelah terpandang papan tanda penunjuk arah, kami terpanggil untuk melihat dari lebih dekat sambil singgah untuk makan tengahari .

“Restoran ini diusahakan oleh keluarga saya. Mula beroperasi setelah saya mendapat kontrak menguruskan tempat bersejarah ini.” Ujar Taj. Menurutnya lagi, walaupun kelihatan masih serba kekurangan, dia sebenarnya telah melakukan banyak kerja menaik taraf segala kemudahan yang ada di situ bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Taj kemudiannya menghulurkan risalah yang menerangkan secara ringkas mengenai Kellie’s Castle dan meminta izin untuk melayan pengunjung lain yang baru tiba.

“Belum lapar sangat bos. Kita melawat dulu pun OK. Selesai nanti baru makan.” Jawab Matju apabila saya bertanyakan pendapatnya . Saya bersetuju.



Kami menyeberang jambatan yang merintangi sungai Perak menuju kea rah kaki bukit setelah membayar tiket di pintu masuk. Suasana begitu sunyi dan sepi. Kami Cuma nampak satu keluarga bersama seorang anak kecik sedang memanjat tangga ketingkat atas menara setinggi enam tingkat itu. Jauh di satu penjuru yang lain, kelihatan satu pasangan bersama seorang warga emas sedang asyik bergambar. Apa yang kedengaran Cuma aliran air sungai dan kicauan unggas dari kawasan hutan di belakang bangunan kota itu.

“Seram tak bos?” Tanya Matju tiba-tiba. Saya tidak pasti samada Matju juga telah merasakan semacam pengembaran ke zaman silam baru saja bermula sebaik saja kami melangkah masuk ke beranda di tingkat bawah. Saya cuma senyum pada Matju sambil mula menghalakan lensa kamera mencari sudut yang menarik.

Walaupun pembinaan bangunan kota yang merupakan sebuah kediaman ala istana atau mahligai itu terbengkalai kerana kerja-kerja tidak lagi diteruskan sejak bulan Disember 1926, namun hampir keseluruhan strukturnya telah siap dan masih tegap berdiri. Gaya senibinaannya yang unik juga sudah jelas kelihatan dan begitu mengagumkan. Menurut catatan di dalam risalah yang diberikan, kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh tidak kurang daripada 70 orang pekerja yang kebanyakannya berasal dari Madras di India.


“Kenapa agaknya isteri tuan rumah ni tidak menyiapkan baki pembinaannya setelah suaminya meninggal?” Tanya saya pada Matju.

“Dah tak ada makna lagi agaknya bos…Sebab itulah juga gamaknya dia jualkan segala harta benda di Malaya dan kembali ke Scotland.” Jawab Matju dengan nada kesal. “Sayang betul kan? Kalau siap ni, pasti cantik” Suara Matju termengah-mengah sambil memanjat anak tangga ke tingkat atas.

Nama Kellie’s Castle diabadikan sempena nama ibu kepada William Kellie Smith, seorang rakyat Scotland yang datang ke Malaya pada usia 20 tahun untuk mencuba nasib di sini. Dia dilahirkan pada 1 Mac, 1870, di Dallas, Scotland. Pada tahun 1905, dia telah membina kediamannya yang pertama, Kellie’s House berhampiran dengan tapak Kellie’s Castle. Kesan runtuhan Kellie’s House masih dapat dilihat dengan jelas melalui lantai dan dindingnya. Itu pun kerana sebahagian dinding telah dipasang kerangka penahan agar ia tidak tumbang.






Melihat bangunan itu dari lebih dekat, membuat saya terfikir betapa tingginya kepakaran orang dulu-dulu dalam menghasilkan ciptaan dan binaan, walaupun teknologi mereka tidak secanggih sekarang. Malangnya, sepanjang pembinaannya, ramai di antara pekerjanya yang terkorban kerana diserang penyakit misteri dikenali pada ketika itu sebagai ‘Spanish Flu’.

“Tetapi pembinaan masih diteruskan. William membina sebuah kuil Hindu kerana dinasihatkan oleh penduduk tempatan kononnya ‘semangat’ tempat itu naik marah dan mengganggu mereka. Kuil itu pula dihubungkan melalui terowong bawah tanah melalui bawah sungai.” Jelas saya setelah mengetahuinya melalui internet.”Yang peliknya, terowong itu tidak lagi ditemui sekarang. Ianya tinggal sebagai suatu misteri…”





“Pembinaan cuma terhenti selepas menerima berita kematian William di Lisbon kerana diserang radang paru-paru.” Sampuk Matju. “Kononnya bos, di bawah sana ada empat buah terowong termasuk yang menghala ke kuil tu. Tetapi, yang peliknya, sehingga kini, tiada siapa yang menjumpai kesemua terowong tu.” Sambungnya.

“Mana kamu tahu semua ni?” Tanya saya. Sambil tersenyum, Matju memberitahu bahawa dia terbaca dalam risalah pelancongan. Menurutnya lagi, banyak lagi misteri yang belum terjawab mengenai bangunan peninggalan penjajah itu.

“Tak pastilah saya samada benar atau cuma cerita yang direka-reka” Beritahu Matju kemudiannya. “Menurut setengah catatan, walaupun bangunan ni dan berusia lebih 100 tahun, ianya kelihatan tidak dimakan usia kerana semangat si William masih ‘menjaga’ bangunan ini…”

“Mengarutlah Matju…” Balas saya. Namun apa yang Matju ceritakan itu turut di catat pada nota di dinding bangunan tersebut. Kononnya, ada yang pernah terlihat seorang lelaki Inggeris berjalan mundar-mandir di beranda dan juga terdengar suara budak perempuan dari dalam bilik di tingkat atas yang dipercayaai bakal dijadikan bilik anak gadisnya. Kejadian ini disahkan oleh Taj kemudiannya, tetapi dia sendiri masih belum terserempak dengan sebarang perkara pelik-pelik sejak menguruskan tempat itu. Namun, dia tidak menyangkal kemungkinan wujudnya kejadian sedemikian berdasarkan cerita yang disampaikan kepadanya oleh ramai pengunjung.

Taj juga yang mengesahkan bahawa di menara yang tinggi itu dicadangkan pembinaan lif untuk mengankut barangan dari ruang menyimpan arak bawah tanah yang bersambung ke terowong ke tingkat atas yang merupakan dewan tari menari. Jika disiapkan, bangunan ini akan menjadi bangunan pertama yang mempunyai kemudahan lif di negara ini Malangnya niat tidak kesampaian.

Ada juga dikisahkan bahawa William bercadang untuk membina menara yang dapat melhat bandar Ipoh. Ia mahukan sesuatu yang hebat sebagai anugerah kepada isterinya yang baru melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Anthony pada tahun 1915. Bahan binaannya adalah daripada batu bata dan marmar yang diimpot dari India. Jurubinanya diarahkan menerapkan gerbang senibina Moorish yang seakan sama dengan bangunan bersejarah di Kuala Lumpur seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi, Mahkamah Agung dan juga Masjid Jamek dan yang siap dibina sekitar 1906.

“Pernah tak terfikir bahawa batu-bata yang diikat untuk binaan tiang dan dinding bangunan menggunakan campuran pasir dengan putih telur itik menggantikan simen batu kapur?” Tanya Taj. Melopong juga mulut kami di antara percaya dengan tidak. “Itulah yang diberitahu pakar dan pengkaji sejarah…” Sambung Taj.

“Mak oi. Banyak mana agaknya telur itik yang diperlukan?” Sambut Matju sambil cuba bayangkan ke mana pulak akan perginya kuning telur yang tidak digunakan itu akan dibawa agaknya.

“Mungkin digoreng untuk makanan pekerja-pekerjanya…” Seloroh saya.

“Mungkin juga.” Balas Taj sambil ketawa.

Melihatkan bangunan yang tidak dilepa simen itu tidak ditumbuhi lumut walau pun terdedah kepada cuaca selama seabad juga adalah satu keajaiban. Selain itu, berada di dalam ruang di bilik-bilik yang kami kunjungi juga tidak begitu terasa kehangatannya biarpun ketika itu matahari berada tegak di atas kepala. Mungkin juga kerana arkiteknya telah menyediakan pengudaraan yang mencukupi melalui beberapa lubang udara dan dicelah-celah ukiran batu ala rekabentuk Greco-Roman yang bukan sahaja indah, tetapi juga berfungsi.


Banyak lagi perkara menarik dan cerita-cerita misteri yang dapat dilihat dan didengar mengenai Kellie’s Castle. Namun begitu, banyak yang tidak ditonjol dan dipromosikan selama ini. Itulah sebabnya ramai yang tidak pernah tahu mengenainya, apatah lagi untuk datang melawat dan menyaksikan keunikannya.

Setelah hampir satu jam meneliti segenap ruang dan tingkat bangunan yang sudah banyak kali menjadi lokasi pengambaran iklan, drama TV , sessi fotografi dan seumpamanya itu, kami teruskan niat untuk menjamu selera di restoran berhampiran. Menunya menarik dan rasanya boleh tahan.

Taj duduk di meja menemani kami menikmati makan tengahari. Berbagai lagi kisah diceritakan. Dia menyambung kisah seram yang menjadi perbualan dan juga misteri terowong yang belum terungkai jawapannya sekian lama itu.

“Malangnya tidak banyak pihak yang berminat untuk berbelanja membuat dokumentasi ataupun kajian khusus serta menerbitkan dalam bentuk buku atau seumpamanya sebagai catatan sejarah atau bahan tarikan pelancongan.”Ujar Taj dalam nada sedikit kesal.

Kenyataan Taj itu banyak kebenarannya, tambahan pula, setiap pelawat yang datang cuma membawa pulang kenangan di ingatan dan gambar-gambar yang diambil sahaja kerana tidak ada sebarang cenderamata dijual bagi memperingati Kellie’s Castle yang punya seribu satu cerita di sebalik binaannya yang tidak akan pernah siap itu.

Tuesday, January 9, 2007

Nik Malik Nik Zainal Abidin


(published in Anjung Seri, February issue)

TIDAK pernah saya jangkakan, setelah hampir dua dekad meninggalkan Malik, Lip & Associates (MLA), saya berpeluang sekali lagi untuk duduk dan berbicara dengan bekas majikan serta pensyarah yang begitu saya hormati dan kagumi, Nik Malek Nik Zainal Abidin. Saya hadir di majlis Anugerah Khas Anjung Seri (AKAS) pada Disember yang lalu sebagai memenuhi undangan Puan Zaini, manakala Nik Malek yang lebih mesra dengan panggilan Encik Nik, adalah penerima Anugerah Tokoh AKAS 2006. Di kesempatan yang ada, kami bertanya khabar serta mengimbau masa silam di samping bertukar-tukar cerita.

Pemilihan Encik Nik sebagai Tokoh Akas amatlah bertepatan dengan karisma, kewibawaan dan pencapaiannya di bidang senireka lanskap. Firmanya adalah satu nama besar dan antara perintis bidang perancangan dan perundingan senitaman yang sebelumnya tidak begitu dititik beratkan . Mengenali Encik Nik secara peribadi sebagai seorang pencinta alam dan aktivis seni budaya, menguatkan lagi sokongan saya ke atas pemilihan tersebut.

"Dari luar, memang nampak steady aje, tapi kat dalam-dalam ni dah banyak yang rosak..." ujar Encik Nik dalam berseloroh, merujuk kepada komen saya mengenai tubuh badannya yang kelihatan masih tegap dan seolah-olah tidak dimakan usia itu biarpun sudah menjangkau 57 tahun umurnya. Sejauh pengetahuan saya, Encik Nik begitu mengambil berat mengenai kesihatan dan kebersihan diri. Samalah juga perihatinnya dia kepada flora dan fauna yang melata di bumi Tuhan ini serta perihal kemanusian sejagat..

"Pejabat masih di tempat lama lagi?" Tanya saya seterusnya. Ingatan saya kembali ke tahun 1988 semasa saya 'makan gaji' sebagai arkitek projek di firma perkongsiannya dengan Arkitek Micheal Lip Yoke Cheong. Sebagai majikan, Encik Nik adalah seorang yang begitu tegas dan mengutamakan kesempurnaan dalam menghasilkan sesuatu.

"Yelah, nak kemana lagi?" Jawabnya ringkas dalam nada merendah diri sambil mengukir senyum. Saya akui, sepanjang bekerja dengannya, amat jarang sekali saya dapat melihat senyumannya. Saya amat menggeruni renungan tajam matanya, terutama jika telah melakukan kesilapan atau tidak mengikut apa yang dikehendaki atau diharapkannya. Tidak banyak bezanya di antara menjadi pelajar dan pekerjanya. Itulah yang saya rasakan.

Encik Nik mula mengajar saya semasa di tahun kedua sehingga tamat pengajian diploma. Ketika itu, dia baru kembali dari luar negara bersama Sarjana di bidang lanskap. Saya masih ingat bagaimana pertama kali diperkenalkan kepada seni lanskap dengan pendekatan yang amat berbeza. Encik Nik menanam rasa cintakan alam dan tumbuhan sebagai asas kepada rekabentuk taman, bukan sekadar menyusun pasu-pasu bagi memenuhi ruang kosong. Dia juga berpesan bahawa rekabentuk lanskap seharusnya digarap pada peringkat rekabentuk bangunan supaya ia bukanlah sesuatu yang hanya ditokok setelah bangunan siap.

Sepanjang berada di bawah bimbingan Encik Nik, kami sering dibawa melawat sambil belajar ke banyak tempat termasuk berkhemah di tepi pantai, air terjun mahupun meredah hutan bagi mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Dengan cara ini, bagi sesetengah daripada kami para pelajar, banyak pengalaman baru dapat ditimba. Sedikit sebanyak, minat terhadap mata pelajaran lanskap semakin bertambah. Kami juga diajar mengahargai hayat tumbuhan dan nyawa makhluk yang berkongsi hidup di atas muka bumi ini. Saya masih ingat bangaimana marahnya Encik Nik apabila terjumpa bangkai anak-anak ketam di dalam kampit plastik berhampiran tempat perkhemahan kami di pantai Port Dickson. Kami semuanya didenda kerana tidak ada yang mengaku bertanggungjawab menangkap anak-anak ketam yang tidak berdosa itu.

"Banyak projek sekarang?" Giliran Encik Nik pula bertanya. Nada suaranya masih seperti dulu, lembut tetapi garau seperti suara penyanyi Sohaimi Meor Hassan. Susunan ayatnya teratur dan jelas, lebih-lebih lagi apabila bertutur dalam bahasa Inggeris, bahasa pertuturan yang lebih disenanginya.

"Banyak tu, tidaklah sangat, cuma cukup makan aje.." Saya berterus terang. "Yang ada ni pun, semuanya kecil-kecil . Sesuai dengan saiz firma yang tidak sebesar mana." Sambung saya lagi. Saya sedar, firma Encik Nik bukanlah perbandingan yang setaraf , sebaliknya, kejayaan Encik Nik selama ini sering menjadi sumber inspirasi saya.

Banyak ilmu pengetahuan tambahan saya perolehi semasa bekerja di MLA. Seingat saya, antara beberapa projek yang saya terlibat pada ketika itu ialah rekabentuk lanskap untuk Pelangi Beach Resort dan beberapa tempat tumpuan pelancong di Pulau Langkawi, pembangunan Taman Pertanian Bukit Cerakah, Hotel Istana Kuala Lumpur, rumah rehat di Tanah Merah, Kelantan serta beberapa lagi cadangan pembangunan. Biarpun pengkhususan saya tertumpu kepada rekabentuk lanskap kejur, namun saya juga didedahkan kepada penghasilan rekabentuk lanskap lembut. Hasilnya, saya banyak belajar mengenali nama-nama botanik untuk sebilangan tumbuhan yang sering digunakan.

Ketelitian dan sensitiviti Encik Nik dalam membuat pilihan yang tepat serta mementingkan kesempurnaan, membuat dia begitu serius semasa benerja. Kaedah yang serupa sering saya jadikan panduan apabila saya mula membuka firma sendiri, walaupun ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Tidak hairanlah apabila MLA seringkali diberikan kepercayaan untuk mengendalihan projek-projek mega seperti di Putrajaya dan KLIA. sehinggalah ke seluruh pelusuk negara, malah ke seberang laut. Terkini, hasil kerja Encik Nik dan firmanya dapat juga dilihat di Berjaya Times Square, Menara TA One, Rivera Bay Resort, MBf Tower dan Casa Del-Sol Apartments, sekadar menyebutkan beberapa nama. Encik Nik dan firmanya juga telah banyak menerima anugerah dari berbagai pertubuhan sebagai bukti kejayaan yang dicapai selama ini.

"Saya sekarang sering berulang alik ke Moscow, Russia. Di sana sekarang banyak pembangunan dan pulangan pelaburan adalah lebih singkat berbanding negara lain." Beritahu Encik Nik setelah saya bertanyakan perkembangan terbarunya. Dia juga menerangkan mengenai begitu banyak peluang melabur dan melibatkan diri di celah-celah kepesatan pembangunan di negara bekas Komunis itu.

Saya kagum dengan kegigihan Encik Nik. Dia seolah-olah tidak pernah merasa puas dalam kerjayanya. Dia juga begitu komited terhadap profesyennya yang sudah diceburi sekian lama dan tidak pernah ketandusan idea serta sangat produktif. Selayaknya, anugerah Tokoh AKAS itu menjadi miliknya .

Sedang rancak berborak, Encik Nik telah dijemput untuk duduk bersama para jemputan khas sebelum acara dimulakan. Dia meminta diri dengan sopan dan berharap dapat menyambung semula selepas acara selesai. Belum sempat saya bertanyakan mengenai kegiatan seninya yang suatu ketika dulu menjadi kegemaran masa lapangnya.

Mungkin tidak ramai yang tahu, selain daripada minatrnya yang mendalam dalam mengekalkan seni warisan bangsa melalui ciptaannya, Encik Nik juga berkebolehan dalam seni persembahan, terutama yang berkaitan dengan budaya tradisional. Selain daripada gemar menerapkan seni ukiran kayu, corak batik, motif songket, bangau perahu, tempayan dan seumpamanya di dalam rekabentuknya, Encik Nik juga handal di pentas Makyong dan tarian tradisional. Mungkin juga faktor usia dan kesuntukan masa telah menghadkan kegiatan seninya yang lain.

Mujurlah selepas majlis selesai, saya sempat bersalaman dan bergambar kenangan dengan Encik Nik, tetapi niat untuk menyambung perbualan, tidak kesampaian lantaran kesuntukan masa. Saya berterima kasih kepada Puan Zaini dan kerabat Anjung Seri di atas jemputan itu kerana menemukan kami kembali. Kepada Encik Nik Malek, saya ucapkan tahniah buat sekian kalinya.

Tuesday, January 2, 2007

Zainal Arif




Dah banyak kali nampak muka Prof. Dr. Zainal Arif Abdul Rahman (Zainal Arif) ni dalam majalah, surat khabar, malah TV pun. Tapi belum sempat nak bercerita mengenai dia untuk tatapan yang dah lama tak dengar berita atau buat adik-adik yang belum mengenali dia.

Paling akhir jumpa Zainal ni adalah pada AGM kat Hotel Singgahsana beberapa tahun sudah. Sebelum tu memang langsung tak tahu perkembangannya. Selepas diberitahu mengenai kejayaan akademik dan kerjayanya, saya pada mulanya macam tak berapa percaya jika kembali mengenangkan Zainal yang saya kenal masa di SMSK dulu.

Maaflah Zainal dan siapa saja yang rapat dengannya kalau saya katakan yang Zainal yang saya kenali dulu adalah seorang yang agak 'nakal' dan gila-gila perangainya. Bukan sedikit, malah saya berani katakan bahawa dia yang satu tahun senior daripada saya ini amat digeruni oleh kebanyakan junior. Mana yang sempat, dia akan 'buli'. Siapa masih ingat seorang junior yang bernama Norazman (a.k.a. Param) yang memang selalu kena buli lantaran kelurusan mamat tu? Kalau kena dengan Zainal, memang 'habis' budak tu...

Saya pernah tinggal sebilik dengan Zainal (bilik Ciak), kalau tak silap, masa tu saya di tingkatan 3 pada tahun 1976. Bila dah duduk sebilik, banyaklah rahsia yang kami kongsi. Pada saya, walaupun agak nakal, Zainal ni memang genius. Dia bukan ulat buku, bukan kaki library, malah selalu cari jalan nak ponteng kelas. Pernah dia bertanya pada saya, "Siapa yang cipta sekolah?" katanya, memang tak patut betul orang yang pandai-pandai pergi cipta sekolah. Alangkah baiknya kalau tak payah sekiolah, tak payah belajar, tapi boleh dapat kerja dah wang ringgit dengan duduk lepak-lepak. ...

Zainal juga memang seorang yang 'berani' (bering) walaupun saiznya tak besar mana. Dia pernah ajak orang yang lebih besar darinya 'bergocoh' lantaran tak puas hati dengan perangai kurang ajar orang tu. Selain itu, dia juga kaki kelakar kerana banyak kisah lawak yang dia selalu sampaikan mengenai berbagai perkara.

Siapa sangka, Prof. Dr. Zainal sekarang seorang Pakar Perunding Kanan Maksilofasial, Ketua Jabatan Surgeri Oral dan Maksilofasial yang tersohor dan disegani. Saya tumpang bangga.

Saya potong dan scan secebis artikel mengenai kepakarannya dalam surat khabar Berita Minggu Ahad lalu untuk tatapan bersama.

Wan Kamarul boleh kontek dia dan panggil untuk program di RTM.

SMZ mungkn dah pernah offer Dr. Zainal beri ceramah kat adik-adik di Sekolah? saya tak pasti...

Friday, December 8, 2006

Nonton Teater

LAST sekali nonton teater ialah Muzikal Suzana @ 60an. Sebelum tu, Muzikal Puteri gunung Ledang. Hmmm semuanya MUZIKAL. Dah jadi macam 'wajib' pulak kepada penerbit teater supaya memuzikalkan persembahan mereka jika mahu slot di Istana Budaya.

Bila Pi Mai Pi Mai Tang Tu (dulu sitcom Syyhh../ Kampung Seri Wangi) dimuzikalkan, ada semacam tak kena aje. Macam hilang seri dan hambar aje rasanya.

Bagi kita yang pernah membesar, jadi matang dengan lawak penduduk Kg. Seri Wangi (kemudiannya pindah ke Flet Seri Wangi) saban minggu di kaca TV, mungkin sudah begitu sebati dengan keunikan lawak gaya situasi ini. 18 tahun penayangan bukanlah suatu jangka masa yang pendek. Selama itulah Mat Deris, Budin, Pak Uda, Wan Ismail Golok dan yang lain-lain itu menggeletek hati kita.

Tapi, apabila membawa seisi keluarga menonton dan terpaksa berhadapan dengan keadaan kelam abut di atas pentas, dan ketidakenakan dendangan pak lawak-pak lawak tu menyanyi, terdetik rasa sedikit KECEWA.

Nasib baik di selamatkan oleh Sabri & Sathiya yang banyak mengundang ketawa. Sejak dalam kereta semasa perjalanan pulang, anak-anak tak habis-habis mengulangi aksi dan skrip lucu mereka berdua.