Wednesday, January 11, 2012

artikel Anjung Seri Februari, 2012


JPO, tarikan baru ke Johor

"MEMANG tak sangka boleh jumpa kat sini, kan?" Ujar Hasnan berkali-kali. Isterinya Shida juga begitu teruja dengan pertemuan tanpa dirancang di Johor Premium Outlets (JPO) yang baru dibuka pada penghujung tahun 2011 itu.

"Kat KL pun susah nak bertemu, dah berapa kali merancang, asyik tak jadi je..." Tambah Shida pula. Mengingatkan kami kepada beberapa pertemuan yang diatur sebelum ini, tetapi terpaksa ditunda beberapa kali juga lantaran kesibukan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

"Kali akhir kita bersua, kalau tak silap ketika Nan dan Shida datang ke rumah terbuka Hari Raya kami..." Isteri saya cuba mengingatkan."Lebih kurang lima bulan lepas, itu pun tak sempat nak berborak sebab terlalu ramai tetamu. Kami minta maaf, sangat..." Sambungnya.

"Biasalah... Nama pun rumah terbuka..." Saya mencelah.

Kami mula berkenalan rapat selepas bertemu di Kota London ketika mereka berdua bercuti manakala saya dan isteri memenuhi undangan majlis perkahwinan sepupu isteri saya kira-kira dua tahun yang lalu. Sejak perkenalan itu, isteri saya terutamanya, sering berhubungan melalui telefon atau SMS dengan Shida biarpun jarak rumah kami di Kuala Lumpur cuma beberapa kilometer sahaja.

"Dah berapa kali datang shopping di sini?" Tanya Shida tiba-tiba. Sepatutnya, kami yang terlebih dahulu bertanya kerana mereka orang Johor yang mungkin lebih sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, kampung kelahiran Shida.

"Baru pertama kali, bukan bershopping pun, baru nak tinjau-meninjau..." Jawab saya.

"Boleh percaya ke?" Hasnan seolah-olah musykil dengan jawapan saya. Dia mungkin teringatkan bagaimana kami beberapa kali terserempak di Oxford Street, Pusat membeli belah Harrods dan Bicester Village yang terkenal sebagai tempat orang membeli-belah. Dia juga mungkin tidak lupa dengan kenyataan saya bahawa tempat-tempat demikian tidak ada di negara kita, terutama yang berkonsepkan 'factory outlets' seperti Bicester Village yang tersohor itu.

Kami pernah juga berbincang mengenai tempat-tempat seumpama itu yang sering menjadi tumpuan kaki shopping di negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia dan banyak lagi. Selain daripada menempatkan berbagai jenama terkenal di dalam satu kawasan, ianya juga menyediakan berbagai kemudahan lain seperti tempat makan, ruang istirehat, kemudahan awam dan berbagai lagi.

"Harga barangan, sepatutnya lebih murah dengan konsep terus dari kilang ini, tetapi, sebab tukaran wang dan jaraknya yang beribu kilometer dari tempat kita, berbaloi ke?" Tanya Hasnan pula.

Kini, dengan terdirinya sebuah bangunan yang diberi nama Johor Premium Outlets (JPO) yang terletak berhampiran dengan Kulaijaya, tidak jauh dari Senai dan Lebuhraya Utara Selatan serta Link kedua dari Singapura, banyak persoalan terjawab. Bukan saja lokasinya yang strategik, konsep menempatkan lebih 80 jenama-jenama terkenal dan penyediaan kemudahan-kemudahan awam yang serba lengkap, harga tawaran yang lebih berpatutan, malahan senibina bangunan dua tingkat itu juga begitu menggamit pengunjung.

"Eh, mana pergi diaorang semua?" Tanya saya apabila menyedari cuma kami berdua sahaja yang tinggal berhampiran pintu masuk, tidak jauh dari halaman terbuka yang berlandskap indah. Terdapat juga pancuran air berhampiran dengan escalator ketingkat atas. Isteri dan anak-anak kami sudah hilang dari pandangan menyertai pengunjung yang berpusu-pusu menyusuri kedai-kedai yang menawarkan potongan hujung tahun.

"Kita lepak kat sini kejap, nanti kita cari diaorang..." Pelawa Hasnan yang juga menyedari betapa terujanya isteri dan anak-anaknya juga untuk melihat dari lebih dekat. Rupanya, mereka juga baru pertama kali sampai ke situ.

"Orang Johor sendiri pun masih ramai yang belum pernah sampai. Tempat ni terlalu baru lagi..." Beritahu Hasnan. "Orang Singapura yang lebih ramai..." Sambungnya lagi.

Saya juga perasankan banyak kereta yang menggunakan nombor plate negara jiran itu di tempat letak kereta yang begitu luas dan tersusun di sekeliling JPO. Dari senario ini, kelihatannya pemajunya sudah hampir mencapai matlamatnya dengan mensasarkan kunjungan daripada luar selain daripada menampung keperluan rakyat tempatan. Kedudukannya yang cuma 5 minit daripada lapangan terbang juga menjadi faktor pembantu.

"Senibina bangunan ini pun memang hampir serupa dengan yang terdapat di luar negara. Memang bijak mereka memilih citarasa antarabangsa. Dalam soal ini, ciri-ciri tempatan tidak menjadi keutamaan lagi." Saya memberikan pendapat apabila Hasnan bertanyakan mengenai duplikasi yang begitu nyata dan jelas kelihatan. "Cumanya, iklim panas di tempat kita ini sahaja yang berbeza..." sambung saya lagi.

Hasnan bersetuju. Dia mengajak saya berpindah tempat setelah melihat saya sudah mula berpeluh walaupun cuma duduk di bangku yang tersedia.

"Duduk kat dalam food court tu, boleh jugak kita minum-minum sambil menyejukkan badan." Cadang Hasnan. "Diaorang akan telefon nanti bila dah tak cukup duit atau terjumpa dengan apa yang berkenan di hati.

Berada di dalam food court atau medan selera yang serba moden hiasan dalaman nya itu, barulah dapat kita rasakan keMalaysiannya apabila melihat pada deretan menunya. Berbagai juadah citarasa tempatan dan tempat duduk yang begitu selesa membuat tempat itu menjadi tumpuan ramai. Surau dan tandas awam juga tersedia.

“Yang penting, semua makanannya halal.” Bisik Hasnan apabila melihat logo yang dipaparkan.”Tak payah nak pilih-pilih atau was-was lagi...” Tambahnya sambil duduk di satu sudut yang baru dikosongkan.

Walaupun agak ramai, namun kedinginan pendingin hawanya begitu menyegarkan. Kami rasa begitu selesa menikmati minuman sambil berborak berbagai cerita sehingga terlupa tujuan datang ke JPO.

“Alangkah bagusnya jika tempat begini dibina di lain-lain tempat lagi di negara kita ini, tentu dapat sambutan ramai.” Hasnan memberikan pendapatnya. Mungkin dia mengharapkan sebuah dibina di Kuala Lumpur, tidak perlu lagi untuk memandu selama lebih 3 jam untuk ke JPO lagi. “Kita boleh namakan KLPO pula...” memang betul tekaan saya rupanya...

Tiba-tiba telefon bimbit Hasnan berdering. Seperti yang dijangka. Isterinya mahukan kami segera ke tingkat atas kerana mahu kami melihat sesuatu. Keluarga saya juga ada bersama mereka.

Kami segera bangun dan sebaik keluar daripada tempat itu, bahang matahari segera menggigit kulit. Panasnya lebih dari tadi kerana matahari berada betul-betul di atas kepala. Kipas besar yang mengeluarkan wap dingin juga hampir tidak terasa.

“Kalau di luar negara, ramai yang tidak mahu lepak di luar kerana kedinginan, tetapi di Johor ni kira terbalik. Orang lebih suka duduk di dalam kedai kerana lebih dingin.” Hasnan merungut sambil melangkah pantas ke arah escalator.

“Kedua-dua keadaan memaksa orang ramai masuk kedai dan berbelanja...Tak gitu?” Tanya saya sambil mengekorinya.

Hasnan menoleh kepada saya dengan senyuman sinis sambil mengangguk-angguk bersetuju.

Tuesday, March 1, 2011

Travel Series Slideshow

Travel Series Slideshow: "TripAdvisor™ TripWow ★ Travel Series Slideshow ★ to Phnom Penh and Agra by Ahmad Hilmy. Stunning free travel slideshows on TripAdvisor"

Wednesday, July 4, 2007