Tuesday, January 9, 2007

Nik Malik Nik Zainal Abidin


(published in Anjung Seri, February issue)

TIDAK pernah saya jangkakan, setelah hampir dua dekad meninggalkan Malik, Lip & Associates (MLA), saya berpeluang sekali lagi untuk duduk dan berbicara dengan bekas majikan serta pensyarah yang begitu saya hormati dan kagumi, Nik Malek Nik Zainal Abidin. Saya hadir di majlis Anugerah Khas Anjung Seri (AKAS) pada Disember yang lalu sebagai memenuhi undangan Puan Zaini, manakala Nik Malek yang lebih mesra dengan panggilan Encik Nik, adalah penerima Anugerah Tokoh AKAS 2006. Di kesempatan yang ada, kami bertanya khabar serta mengimbau masa silam di samping bertukar-tukar cerita.

Pemilihan Encik Nik sebagai Tokoh Akas amatlah bertepatan dengan karisma, kewibawaan dan pencapaiannya di bidang senireka lanskap. Firmanya adalah satu nama besar dan antara perintis bidang perancangan dan perundingan senitaman yang sebelumnya tidak begitu dititik beratkan . Mengenali Encik Nik secara peribadi sebagai seorang pencinta alam dan aktivis seni budaya, menguatkan lagi sokongan saya ke atas pemilihan tersebut.

"Dari luar, memang nampak steady aje, tapi kat dalam-dalam ni dah banyak yang rosak..." ujar Encik Nik dalam berseloroh, merujuk kepada komen saya mengenai tubuh badannya yang kelihatan masih tegap dan seolah-olah tidak dimakan usia itu biarpun sudah menjangkau 57 tahun umurnya. Sejauh pengetahuan saya, Encik Nik begitu mengambil berat mengenai kesihatan dan kebersihan diri. Samalah juga perihatinnya dia kepada flora dan fauna yang melata di bumi Tuhan ini serta perihal kemanusian sejagat..

"Pejabat masih di tempat lama lagi?" Tanya saya seterusnya. Ingatan saya kembali ke tahun 1988 semasa saya 'makan gaji' sebagai arkitek projek di firma perkongsiannya dengan Arkitek Micheal Lip Yoke Cheong. Sebagai majikan, Encik Nik adalah seorang yang begitu tegas dan mengutamakan kesempurnaan dalam menghasilkan sesuatu.

"Yelah, nak kemana lagi?" Jawabnya ringkas dalam nada merendah diri sambil mengukir senyum. Saya akui, sepanjang bekerja dengannya, amat jarang sekali saya dapat melihat senyumannya. Saya amat menggeruni renungan tajam matanya, terutama jika telah melakukan kesilapan atau tidak mengikut apa yang dikehendaki atau diharapkannya. Tidak banyak bezanya di antara menjadi pelajar dan pekerjanya. Itulah yang saya rasakan.

Encik Nik mula mengajar saya semasa di tahun kedua sehingga tamat pengajian diploma. Ketika itu, dia baru kembali dari luar negara bersama Sarjana di bidang lanskap. Saya masih ingat bagaimana pertama kali diperkenalkan kepada seni lanskap dengan pendekatan yang amat berbeza. Encik Nik menanam rasa cintakan alam dan tumbuhan sebagai asas kepada rekabentuk taman, bukan sekadar menyusun pasu-pasu bagi memenuhi ruang kosong. Dia juga berpesan bahawa rekabentuk lanskap seharusnya digarap pada peringkat rekabentuk bangunan supaya ia bukanlah sesuatu yang hanya ditokok setelah bangunan siap.

Sepanjang berada di bawah bimbingan Encik Nik, kami sering dibawa melawat sambil belajar ke banyak tempat termasuk berkhemah di tepi pantai, air terjun mahupun meredah hutan bagi mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Dengan cara ini, bagi sesetengah daripada kami para pelajar, banyak pengalaman baru dapat ditimba. Sedikit sebanyak, minat terhadap mata pelajaran lanskap semakin bertambah. Kami juga diajar mengahargai hayat tumbuhan dan nyawa makhluk yang berkongsi hidup di atas muka bumi ini. Saya masih ingat bangaimana marahnya Encik Nik apabila terjumpa bangkai anak-anak ketam di dalam kampit plastik berhampiran tempat perkhemahan kami di pantai Port Dickson. Kami semuanya didenda kerana tidak ada yang mengaku bertanggungjawab menangkap anak-anak ketam yang tidak berdosa itu.

"Banyak projek sekarang?" Giliran Encik Nik pula bertanya. Nada suaranya masih seperti dulu, lembut tetapi garau seperti suara penyanyi Sohaimi Meor Hassan. Susunan ayatnya teratur dan jelas, lebih-lebih lagi apabila bertutur dalam bahasa Inggeris, bahasa pertuturan yang lebih disenanginya.

"Banyak tu, tidaklah sangat, cuma cukup makan aje.." Saya berterus terang. "Yang ada ni pun, semuanya kecil-kecil . Sesuai dengan saiz firma yang tidak sebesar mana." Sambung saya lagi. Saya sedar, firma Encik Nik bukanlah perbandingan yang setaraf , sebaliknya, kejayaan Encik Nik selama ini sering menjadi sumber inspirasi saya.

Banyak ilmu pengetahuan tambahan saya perolehi semasa bekerja di MLA. Seingat saya, antara beberapa projek yang saya terlibat pada ketika itu ialah rekabentuk lanskap untuk Pelangi Beach Resort dan beberapa tempat tumpuan pelancong di Pulau Langkawi, pembangunan Taman Pertanian Bukit Cerakah, Hotel Istana Kuala Lumpur, rumah rehat di Tanah Merah, Kelantan serta beberapa lagi cadangan pembangunan. Biarpun pengkhususan saya tertumpu kepada rekabentuk lanskap kejur, namun saya juga didedahkan kepada penghasilan rekabentuk lanskap lembut. Hasilnya, saya banyak belajar mengenali nama-nama botanik untuk sebilangan tumbuhan yang sering digunakan.

Ketelitian dan sensitiviti Encik Nik dalam membuat pilihan yang tepat serta mementingkan kesempurnaan, membuat dia begitu serius semasa benerja. Kaedah yang serupa sering saya jadikan panduan apabila saya mula membuka firma sendiri, walaupun ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Tidak hairanlah apabila MLA seringkali diberikan kepercayaan untuk mengendalihan projek-projek mega seperti di Putrajaya dan KLIA. sehinggalah ke seluruh pelusuk negara, malah ke seberang laut. Terkini, hasil kerja Encik Nik dan firmanya dapat juga dilihat di Berjaya Times Square, Menara TA One, Rivera Bay Resort, MBf Tower dan Casa Del-Sol Apartments, sekadar menyebutkan beberapa nama. Encik Nik dan firmanya juga telah banyak menerima anugerah dari berbagai pertubuhan sebagai bukti kejayaan yang dicapai selama ini.

"Saya sekarang sering berulang alik ke Moscow, Russia. Di sana sekarang banyak pembangunan dan pulangan pelaburan adalah lebih singkat berbanding negara lain." Beritahu Encik Nik setelah saya bertanyakan perkembangan terbarunya. Dia juga menerangkan mengenai begitu banyak peluang melabur dan melibatkan diri di celah-celah kepesatan pembangunan di negara bekas Komunis itu.

Saya kagum dengan kegigihan Encik Nik. Dia seolah-olah tidak pernah merasa puas dalam kerjayanya. Dia juga begitu komited terhadap profesyennya yang sudah diceburi sekian lama dan tidak pernah ketandusan idea serta sangat produktif. Selayaknya, anugerah Tokoh AKAS itu menjadi miliknya .

Sedang rancak berborak, Encik Nik telah dijemput untuk duduk bersama para jemputan khas sebelum acara dimulakan. Dia meminta diri dengan sopan dan berharap dapat menyambung semula selepas acara selesai. Belum sempat saya bertanyakan mengenai kegiatan seninya yang suatu ketika dulu menjadi kegemaran masa lapangnya.

Mungkin tidak ramai yang tahu, selain daripada minatrnya yang mendalam dalam mengekalkan seni warisan bangsa melalui ciptaannya, Encik Nik juga berkebolehan dalam seni persembahan, terutama yang berkaitan dengan budaya tradisional. Selain daripada gemar menerapkan seni ukiran kayu, corak batik, motif songket, bangau perahu, tempayan dan seumpamanya di dalam rekabentuknya, Encik Nik juga handal di pentas Makyong dan tarian tradisional. Mungkin juga faktor usia dan kesuntukan masa telah menghadkan kegiatan seninya yang lain.

Mujurlah selepas majlis selesai, saya sempat bersalaman dan bergambar kenangan dengan Encik Nik, tetapi niat untuk menyambung perbualan, tidak kesampaian lantaran kesuntukan masa. Saya berterima kasih kepada Puan Zaini dan kerabat Anjung Seri di atas jemputan itu kerana menemukan kami kembali. Kepada Encik Nik Malek, saya ucapkan tahniah buat sekian kalinya.

Tuesday, January 2, 2007

Zainal Arif




Dah banyak kali nampak muka Prof. Dr. Zainal Arif Abdul Rahman (Zainal Arif) ni dalam majalah, surat khabar, malah TV pun. Tapi belum sempat nak bercerita mengenai dia untuk tatapan yang dah lama tak dengar berita atau buat adik-adik yang belum mengenali dia.

Paling akhir jumpa Zainal ni adalah pada AGM kat Hotel Singgahsana beberapa tahun sudah. Sebelum tu memang langsung tak tahu perkembangannya. Selepas diberitahu mengenai kejayaan akademik dan kerjayanya, saya pada mulanya macam tak berapa percaya jika kembali mengenangkan Zainal yang saya kenal masa di SMSK dulu.

Maaflah Zainal dan siapa saja yang rapat dengannya kalau saya katakan yang Zainal yang saya kenali dulu adalah seorang yang agak 'nakal' dan gila-gila perangainya. Bukan sedikit, malah saya berani katakan bahawa dia yang satu tahun senior daripada saya ini amat digeruni oleh kebanyakan junior. Mana yang sempat, dia akan 'buli'. Siapa masih ingat seorang junior yang bernama Norazman (a.k.a. Param) yang memang selalu kena buli lantaran kelurusan mamat tu? Kalau kena dengan Zainal, memang 'habis' budak tu...

Saya pernah tinggal sebilik dengan Zainal (bilik Ciak), kalau tak silap, masa tu saya di tingkatan 3 pada tahun 1976. Bila dah duduk sebilik, banyaklah rahsia yang kami kongsi. Pada saya, walaupun agak nakal, Zainal ni memang genius. Dia bukan ulat buku, bukan kaki library, malah selalu cari jalan nak ponteng kelas. Pernah dia bertanya pada saya, "Siapa yang cipta sekolah?" katanya, memang tak patut betul orang yang pandai-pandai pergi cipta sekolah. Alangkah baiknya kalau tak payah sekiolah, tak payah belajar, tapi boleh dapat kerja dah wang ringgit dengan duduk lepak-lepak. ...

Zainal juga memang seorang yang 'berani' (bering) walaupun saiznya tak besar mana. Dia pernah ajak orang yang lebih besar darinya 'bergocoh' lantaran tak puas hati dengan perangai kurang ajar orang tu. Selain itu, dia juga kaki kelakar kerana banyak kisah lawak yang dia selalu sampaikan mengenai berbagai perkara.

Siapa sangka, Prof. Dr. Zainal sekarang seorang Pakar Perunding Kanan Maksilofasial, Ketua Jabatan Surgeri Oral dan Maksilofasial yang tersohor dan disegani. Saya tumpang bangga.

Saya potong dan scan secebis artikel mengenai kepakarannya dalam surat khabar Berita Minggu Ahad lalu untuk tatapan bersama.

Wan Kamarul boleh kontek dia dan panggil untuk program di RTM.

SMZ mungkn dah pernah offer Dr. Zainal beri ceramah kat adik-adik di Sekolah? saya tak pasti...